Bagaimana Menubuhkan Syarikat Sendirian Berhad ?

Syarikat sendirian berhad (sdn. bhd.) merupakan salah satu dari dua jenis syarikat berhad dengan saham yang terdapat di Malaysia.

Untuk menubuhnya, anda perlu terlebih dahulu melantik syarikat setiausaha bertauliah yang akan membantu menubuhkan syarikat sdn bhd anda dari A-Z.

Artikel Berkaitan: 4 Perkara Yang Patut Anda Pertimbangkan Sebelum Melantik Syarikat Setiausaha

Pun begitu, sebelum berjumpa dengan syarikat setiausaha, anda dinasihatkan untuk menyediakan dokumen dan maklumat tertentu bagi melicinkan proses penubuhan syarikat anda.

Maklumat yang diperlukan seperti:

  1. Cadangan nama syarikat (minimum 3 nama)
  2. Cadangan aktiviti perniagaan syarikat (maksimum 3 aktiviti)
  3. Cadangan akaun bank syarikat (minimum 1 bank)
  4. Alamat tempat tinggal bakal pengarah syarikat (jika berbeza dengan KP)
  5. Alamat tempat tinggal bakal pemegang saham syarikat (jika berbeza dengan KP)
  6. Nama penandatangan buku cek syarikat
  7. Syarat penandatangan buku cek syarikat

Dokumen sokongan yang diperlukan seperti:

  1. Salinan kad pengenalan bakal pengarah syarikat
  2. Salinan kad pengenalan bakal pemegang saham syarikat

Setelah semua maklumat dan dokumen yang dinyatakan diatas anda sediakan, buat temujanji untuk berjumpa dengan syarikat setiausaha pilihan anda.

Sesetengah syarikat setiausaha menghendaki bayaran penuh dibuat diawal proses penubuhan manakala sesetengah yang lain membenarkan anda membuat pembayaran deposit sahaja bagi memulakan proses penubuhan.

Tempoh diantara 5 ke 10 hari bekerja diperlukan untuk syarikat setiausaha menyiapkan proses penubuhan syarikat sdn bhd anda di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Dalam tempoh ini, anda dikehendaki menandatangani dokumen sekurang-kurangnya dua kali bagi membolehkan sijil penubuhan syarikat diperolehi.

Diakhir proses diatas, SSM akan mengeluarkan sijil penubuhan syarikat sdn bhd (Borang Seksyen 17) menandakan syarikat sdn bhd anda telah tertubuh dengan jayanya. Sebelum menyerahkan sijil tersebut kepada anda, syarikat setiausaha kebiasaannya akan menyediakan dokumen lengkap syarikat seperti :

  1. Borang Seksyen 14
  2. Notis Seksyen 15
  3. Notis Seksyen 58 & 236 (2)

Kesemua sijil dan dokumen lengkap syarikat diatas akan diserahkan oleh syarikat setiausaha kepada anda bersama dengan resolusi pembukaan akaun bank syarikat.

Dengan penerimaan kesemua sijil, dokumen lengkap, dan resolusi pembukaan akaun bank syarikat menandakan syarikat sdn bhd anda telah siap tertubuh dan sedia untuk dijalankan.

Perlu diingatkan yang anda kini hanya akan menerima dokumen lengkap di bawah Akta Syarikat 2016 sebagaimana dinyatakan diatas sahaja dan bukannya dokumen-dokumen lama di bawah Akta Syarikat 1965 sebelum ini berupa M&A, borang 9,49,44 dan 24.

Dalam erti kata lain, jika anda diminta oleh pihak ketiga untuk menyerahkan M&A, borang 9,49,44 dan 24, beri sahaja kepada mereka borang seksyen 17,14,15,58 & 236 (2) yang dibekalkan kepada anda dan maklumkan mereka bahawa borang yang mereka minta adalah di bawah Akta Syarikat yang lama dan tidak lagi digunapakai dan ianya telah digantikan dengan borang baru di bawah Akta Syarikat 2016 yang baru.

Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on LinkedInPrint this page
shaiham Ibrahim

shaiham Ibrahim

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif at MSIB Corporate Consultancy SB
Seorang setiausaha syarikat berlesen oleh SSM (LS0010119). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Sedang mengikuti program pengajian separuh masa dalam bidang pengajian undang-undang di UITM, Shah Alam.
shaiham Ibrahim

Apa kata anda ?

comments