3 Sebab Mengapa Anda Perlu Membuka Akaun Bank Syarikat?

Jika anda baru memulakan perniagaan, perkara kedua terpenting selepas mendaftarkan perniagaan ialah membuka akaun bank syarikat. Akaun bank syarikat merujuk kepada satu akaun semasa yang dibuka dengan mana-mana bank menggunakan nama syarikat.

Terdapat pelbagai sebab sebenarnya kenapa anda perlu membuka akaun bank untuk syarikat anda. Pun begitu, disini saya hanya akan senaraikan tiga sebab terbesar kenapa anda perlu berbuat demikian secepat mungkin sebaik sahaja syarikat anda ditubuhkan.

PERTAMA : Mengasingkan wang syarikat dan wang peribadi

Dari segi perakaunan, wang syarikat perlu diasingkan dari wang peribadi. Jika wang syarikat bercampur baur dengan wang peribadi pemiliknya, ia akan mengakibatkan kesukaran bagi mengenalpasti untung rugi perniagaan. Dalam situasi yang lebih teruk lagi, keadaan ini jika tidak terkawal boleh menyebabkan pemilik terguna wang syarikat yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada syarikatnya.

Mempunyai akaun bank syarikat dapat membantu untuk mengasingkan wang syarikat dan wang peribadi. Selain itu, cara ini juga dapat memudahkan proses merekodkan akaun syarikat seterusnya membantu melancarkan proses pengiraan audit dan cukai pada hujung tahun.

KEDUA : Lebih Diyakini Pelanggan

Pelanggan pada hari ini lebih berminat untuk berurusniaga dengan syarikat berbanding orang perseorangan. Ianya bagi mengelakkan risiko penipuan yang kerap kali berlaku melibatkan orang perseorangan yang berniaga tanpa menggunakan syarikat berdaftar.

Oleh kerana urusniaga mereka adalah dengan syarikat, kaedah pembayaran itu juga perlu dilakukan menerusi akaun syarikat tanpa melibatkan akaun peribadi.

KETIGA : Membina reputasi dengan pihak bank

Bank dengan syarikat sememangnya tidak boleh dipisahkan. Syarikat yang bercita-cita untuk pergi lebih jauh dan berkembang dengan maju perlu membina serta menjaga hubungan baik dengan pihak bank.

Hubungan baik tersebut bermula dengan pembukaan akaun bank syarikat dan dari situlah syarikat perlu membuktikan bahawa akaunnya diuruskan dengan baik.

Ini kerana diantara dokumen penting yang mereka perlukan jika syarikat ingin memohon apa-apa kemudahan seperti pinjaman ialah penyata akaun bank syarikat. Dari penyata tersebutlah (beserta beberapa dokumen-dokumen sokongan yang lain) pihak bank membuat penilaian samada syarikat mampu atau tidak untuk membayar semula jumlah pinjaman yang dimohon.

Akaun bank syarikat boleh dibuka dimana-mana bank diseluruh Malaysia. Anda hanya perlu pergi ke mana-mana cawangan bank yang anda sukai, ambil borang dan isi.

Untuk syarikat sendirian berhad dan berhad, anda perlu melampirkan borang di atas bersama dengan resolusi bank dan dokumen lengkap syarikat yang boleh anda dapati dari pejabat syarikat setiausaha. Manakala untuk PLT, anda perlu mempunyai resolusi  yang boleh anda perolehi dari pihak bank.

Untuk tujuan pengeluaran wang bagi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian, anda akan dibekalkan dengan kad ATM dan buku cek. Syarikat sdn bhd, berhad dan LLP walaubagaimanapun hanya dibekalkan dengan buku cek sahaja.

Bagi membolehkan anda memeriksa baki dan melakukan urusan pindahan wang dengan lebih mudah dan cepat, anda boleh memohon untuk menggunakan perkhidmatan perbankan internet yang kini telah tersedia di hampir kesemua bank di Malaysia.

Jadi, apa pandangan anda ? Perlukah anda membuka akaun bank syarikat anda ? Sila kongsikan pandangan anda diruangan komen di bawah.

Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on LinkedInPrint this page
shaiham Ibrahim

shaiham Ibrahim

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif at MSIB Group Sdn Bhd
Seorang setiausaha syarikat berlesen oleh SSM (LS0009800). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Sedang mengikuti program pengajian separuh masa dalam bidang pengajian undang-undang di UITM, Shah Alam.
shaiham Ibrahim

Apa kata anda ?

comments

Daftarkan Email Anda Di sini !

Daftarkan Email Anda Di sini !

Untuk membolehkan anda menerima TIPS SYARIKAT dan kemaskini blog ini terus ke inbox anda secara PERCUMA......

Pendaftaran anda telah berjaya !