5 Perbezaan Ketara Syarikat Sdn Bhd dan Enterprise

beza-sdn-bhd-enterprise

Antara soalan popular yang sering diajukan oleh para usahawan samada baru atau lama kepada saya ialah berkenaan perbezaan diantara syarikat sdn. bhd. dan enterprise. Soalan yang pendek, tapi jawapannya boleh jadi panjang berjela.

Dalam artikel kali ini saya akan cuba memendekkan jawapan tersebut kepada setakat 5 perbezaan ketara diantara syarikat sdn. bhd. dan enterprise.

PERTAMA : Akta Syarikat 2016 VS Akta Pendaftaran Perniagaan 1956
Syarikat sdn. bhd. ditubuhkan dan dikawal oleh Akta Syarikat 2016 (sebelum ini Akta Syarikat 1965) manakala perniagaan enterprise didaftarkan dan dikawal oleh Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Perkongsian 1961 (untuk perniagaan perkongsian).

KEDUA : Pengarah VS Pengurus
Tanggungjawab menguruskan syarikat terletak di bahu pengarah syarikat yang menjalankannya bersama-sama pengarah-pengarah syarikat sdn. bhd. yang lain. Berbeza dengan enterprise di mana tanggungjawab pengurusannya terletak di bahu pengurus merangkap pemiliknya.

KETIGA : Liabiliti Berasingan VS Tidak
Liabiliti bermaksud tanggungan. Tanggungan syarikat sdn. bhd. adalah berasingan dari para pemiliknya. Dalam maksud kata mudah, jika syarikat sdn. bhd. bankrupt, harta syarikat akan dirampas untuk menjelaskan hitang-piutangnya tanpa diusik sedikitpun harta pemiliknya. Ini berbeza dengan perniagaan enterprise dimana apabila perniagaan enterprise jatuh bankrupt, kesemua harta perniagaan dan pemiliknya akan dirampas untuk menyelesaikan hutang piutang perniagaan tersebut.

KEEMPAT : Wajib Melantik Professional VS Tidak Wajib
Syarikat sdn. bhd. wajib melantik minimum seorang setiausaha syarikat berlesen dan juruaudit bertauliah manakala perniagaan enterprise tidak. 

KELIMA : Serahsimpan Laporan Tahunan VS Perbaharui Lesen Tahunan
Syarikat sdn. bhd. perlu menyerahsimpan laporan tahunan beserta laporan akaun beraudit setiap tahun ke SSM manakala perniagaan enterprise hanya perlu memperbaharui lesen perniagaan samada secara tahunan atau kekerapan lain yang dibenarkan oleh pihak SSM.

Selain dari lima perbezaan yang dinyatakan diatas, terdapat banyak lagi perbezaan lain diantara kedua-dua jenis perniagaan diatas. Yang mana lebih baik sebahagiannya ada saya jelaskan dalam artikel yang lepas dan sebahagian lain akan saya jelaskan dari masa kesemasa dalam artikel-artikel akan datang.

Jika ada berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarikat sdn. bhd. dan enterprise, emailkan pertanyaan anda ke shaiham@companysecretary.my. Soalan-soalan yang menarik akan disiarkan di blog ini semula untuk dijawab dalam bentuk artikel seperti ini.

 

Email this to someoneShare on FacebookShare on Google+Tweet about this on TwitterShare on TumblrShare on LinkedInDigg thisPrint this pagePin on Pinterest
shaiham Ibrahim

shaiham Ibrahim

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif at MSIB Group Sdn Bhd
Seorang setiausaha syarikat berlesen oleh SSM (LS0009800). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Sedang mengikuti program pengajian separuh masa dalam bidang pengajian undang-undang di UITM, Shah Alam.
shaiham Ibrahim

Apa kata anda ?

comments