5 Salah Faham Usahawan Enterprise Berkaitan Syarikat Sdn Bhd

Menjalankan perniagaan menggunakan enterprise samada milikan tunggal atau perkongsian sememangnya pilihan yang ideal terutamanya kepada usahawan-usahawan yang baru membiasakan diri dengan dunia perniagaan.

Kebiasaan dan pengalaman mereka menjalankan perniagaan menggunakan enterprise kadang-kala menyumbang kepada salah faham mereka terhadap sejenis entiti perniagaan lain iaitu syarikat sendirian berhad (sdn bhd).

Dalam artikel kali ini saya akan berkongsi dengan pembaca semua berkenaan 4 salah faham dikalangan usahawan yang menjalankan perniagaan menggunakan enterprise berkaitan syarikat sdn bhd.

SALAH FAHAM #1
Enterprise boleh dinaiktaraf ke syarikat sdn bhd

Perniagaan enterprise merupakan  salah sebuah entiti perniagaan yang boleh ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Berbeza dengan syarikat sdn bhd yang perlu ditubuhkan dibawah Akta syarikat 2016.

Kedua-dua akta ini tidak menyediakan peruntukan yang membolehkan perniagaan enterprise dinaiktaraf ke syarikat sdn bhd atau sebaliknya. Jadi, pilihan yang ada kepada usahawan enterprise yang ingin menukar entiti perniagaan mereka kepada syarikat sdn bhd hanyalah menubuhkan syarikat sdn bhd yang baru.

SALAH FAHAM #2
Syarikat Sdn Bhd perlu diperbaharui lesennya sama seperti Enterprise

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa syarikat sdn bhd apabila ditubuhkan ianya dianggap sebagai ‘orang buatan’ yang mempunyai personaliti perundangan tersendiri dan berasingan dari pemiliknya. Kewujudannya adalah berterusan tanpa perlu diperbaharui sampai bila-bila.

Berbeza dengan status perniagaan enterprise yang hanya sekadar lesen menjalankan perniagaan di mana ianya sah untuk satu tempoh tertentu dan perlu diperbaharui apabila tamat tempohnya.

SALAH FAHAM #3
Boleh terus ke pejabat Suruhanjaya Syarikat-syarikat Malaysia (SSM) terdekat untuk mendaftar syarikat sdn bhd

Mendaftarkan lesen perniagaan enterprise sememangnya sangat mudah di mana usahawan boleh terus ke mana-mana pejabat SSM, isi borang tertentu, tunggu giliran, buat bayaran dan terus dapat lesen.

Berbeza dengan penubuhan syarikat sdn bhd dimana usahawan perlu terlebih dahulu melantik syarikat setiausaha untuk menguruskan urusan penubuhan syarikat sdn bhd di SSM.

Syarikat setiausaha yang dilantik ketika penubuhan kebiasaannya akan terus berkhidmat sebagai syarikat setiausaha sehinggalah mereka melantik syarikat setiausaha lain atau syarikat mereka dibubarkan.

SALAH FAHAM #4
Enterprise tak perlu bayar cukai, syarikat sdn bhd perlu

Ramai usahawan enterprise agak takut untuk menjalankan perniagaan mereka menggunakan syarikat sdn bhd walaupun keuntungan mereka tinggi disebabkan salah faham yang menganggap syarikat sdn bhd sahaja yang perlu membayar cukai sedangkan perniagaan enterprise tidak.

Sedangkan hakikat sebenarnya mengikut undang-undang percukaian di Malaysia, mana-mana individu mahupun syarikat yang mempunyai jumlah pendapatan tertentu adalah diwajibkan untuk membayar cukai tanpa mengira ianya perniagaan enterprise mahupun syarikat sdn bhd.

Diharapkan penjelasan di atas dapat mengurang sekaligus menghapuskan salah faham yang wujud di kalangan usahawan enterprise berkaitan syarikat sdn bhd.

Kefahaman yang betul dan jelas berkenaan syarikat sdn bhd sedikit sebanyak dapat membantu usahawan enterprise apabila tiba masa untuk menukar entiti perniagaan mereka kepada syarikat sdn bhd di masa hadapan.

Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on LinkedInPrint this page
shaiham Ibrahim

shaiham Ibrahim

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif at MSIB Corporate Consultancy SB
Seorang setiausaha syarikat berlesen oleh SSM (LS0010119). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Sedang mengikuti program pengajian separuh masa dalam bidang pengajian undang-undang di UITM, Shah Alam.
shaiham Ibrahim

Latest posts by shaiham Ibrahim (see all)

Apa kata anda ?

comments