7 Sebab Kenapa Seseorang Usahawan Patut Menaik Taraf Perniagaan Kepada Syarikat Sdn Bhd

7 Sebab

Syarikat sendirian berhad (sdn bhd) merupakan salah satu dari dua jenis syarikat berhad dengan saham. Di sisi undang-undang, syarikat sdn bhd dianggap sebagai ‘orang buatan’ yang mempunyai entiti perundangannya tersendiri. Syarikat sdn bhd boleh menyaman dan boleh juga disaman menggunakan namanya sendiri.

Syarikat sdn bhd ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 (AS 1965) melalui mana-mana cawangan pejabat pendaftar syarikat Suruhanjaya Syarikat-syarikat Malaysia (SSM) di seluruh negara.

Rata-rata usahawan di Malaysia yang baru memulakan perniagaan cenderung untuk mendaftarkan perniagaan mereka samada sebagai milikan tunggal ataupun perkongsian. Walaubagaimanapun pelbagai kelemahan yang terdapat pada entiti perniagaan tersebut menjadi penyebab kenapa mereka patut menaiktaraf perniagaan kepada syarikat sdn bhd demi kelansungan jangka masa panjang perniagaan.

KENAPA SYARIKAT SDN BHD ?

  1. Penyelamat dari Risiko Kebangkrapan

Syarikat sdn bhd sebagai ‘orang buatan’ mempunyai entiti perundangan tersendiri yang berasingan dari pemiliknya. Ia boleh menyaman dan boleh disaman. Ia mempunyai liabiliti yang berasingan dari pemiliknya. Manakala Liabiliti pemilik hanya terhad setakat modal yang dikeluarkan olehnya. Dalam keadaan syarikat gagal membayar hutang, pemiutang hanya berhak menuntut hutang syarikat dari pemilik setakat modal yang dikeluarkannya sahaja.

Sebagai contoh, syarikat yang mempunyai RM2 modal saham yang mana setiap pemilik mempunyai RM1 seorang, pemiutang hanya berhak menuntut setakat RM1 dari setiap orang pemilik sahaja tanpa mengira berapa jumlah keseluruhan hutang syarikat. Pihak pemiutang selebihnya perlu menuntut jumlah hutang tersebut dari pihak syarikat dan syarikat perlu membayarnya menggunakan aset diatas nama syarikat tanpa melibatkan aset pemilik. Jika telah habis aset syarikat digunakan untuk membayarnya, namun jumlah yang dituntut masih lagi berbaki, pemiutang boleh meneruskan tindakan undang-undang sehingga ke tahap membangkrapkan syarikat. Walaubagaimanapun, semua tindakan yang dikenakan sehingga ketahap bangkrap hanya melibatkan syarikat tanpa membabitkan para pemilik mahupun pengarahnya. Pemilik syarikat boleh sahaja pada bila-bila masa, menubuhkan pula syarikat yang baru tanpa sebarang masalah.

  1. Lebih Sistematik dan Terurus

Syarikat sdn bhd diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat bertauliah untuk menguruskan hal ehwal penubuhan, mesyuarat, dokumentasi dan litigasi diantara syarikat dengan pihak SSM. Syarikat sdn bhd juga diwajibkan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang juruaudit bertauliah yang bertindak menyediakan dan membentangkan laporan audit tahunan syarikat setiap tahun dalam mesyuarat agung tahunan (MAT) syarikat. Dengan bantuan kedua-dua professional dalam bidang masing-masing ini dapat membantu pihak syarikat sekaligus menjadikan pengurusannya lebih sistematik dan terurus.

  1. Lebih Berkredibiliti dan Dipercayai

Syarikat sdn bhd diwajibkan melantik minimum seorang setiausaha syarikat dan juruaudit bertauliah yang kedua-duanya terikat dengan etika professional melalui badan-badan yang mengawalselia mereka. Oleh sebab itu, setiap laporan, pengesahan, perakuan yang disediakan mereka dan diserahsimpan selepasnya ke SSM perlu mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Mereka sama sekali tidak boleh memberikan laporan, pengesahan mahupun perakuan palsu, tidak tepat atau memberikan gambaran yang salah walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Kedudukan mereka adalah berkecuali, tidak memihak dan tidak dipengaruhi. Disebabkan penglibatan professional bersama dengan syarikat inilah yang membuatkan pihak ketiga lebih meyakini kredibiliti dan mempercayai syarikat sdn bhd.

  1. Penjimatan Cukai yang tinggi

Cukai syarikat sdn bhd dikira sebagai cukai korporat. Ini berbeza dengan cukai perniagaan milikan tunggal ataupun perkongsian yang termasuk dalam cukai pendapatan. Cukai korporat hanya dikenakan diatas keuntungan syarikat dan terdapat pelbagai insentif penjimatan cukai yang ditawarkan oleh kerajaan kepada cukai yang dikenakan kepada pihak korporat khususnya syarikat sdn bhd.

  1. Boleh dipindah milik

Pemilikan syarikat sdn bhd diwakili oleh pemilikan unit saham dalam syarikat. Semakin banyak unit saham yang dimiliki oleh seseorang pemilik, semakin kuat kuasa pemilikannya keatas sesebuah syarikat itu. Saham-saham yang dimiliki itu merupakan harta kepada pemiliknya dan boleh dipindah milik bila-bila masa yang dikehendaki.

  1. Mempunyai Pelbagai Cara Untuk Mengumpulkan Modal

Sebagaimana yang dijelaskan diatas, pemilikan syarikat sdn bhd adalah diwakili oleh pegangan saham-saham syarikat oleh pemiliknya. Saham-saham syarikat itu boleh ditambah pada bila-bila masa sahaja atas persetujuan dari pemegang-pemegang saham sedia ada. Ini memberi maksud bahawa syarikat boleh pada bila-bila masa menambah modal tanpa mengira berapa sahaja jumlah yang dikehendakinya. Cara biasa menambahkan modal adalah melalui pinjaman bank. Walaubagaimanapun itu merupakan suatu pinjaman yang perlu dibayar semula beserta dengan faedah tanpa mengira syarikat untung atau rugi. Akan tetapi, menggunakan syarikat sdn bhd, pemilik boleh menjemput ahli keluarga atau rakan-rakan untuk bersama-sama melaburkan wang mereka ke dalam syarikat sdn bhd yang diusahakannya. Modal yang diperolehi dengan cara ini bukanlah satu pinjaman, bahkan ianya lebih kepada pelaburan yang tidak perlu dibayar kembali kepada pelabur sekiranya syarikat mengalami kerugian. Cuma dividen dan kenaikan harga saham sahaja yang patut dibayar kepada para pelabur ketika syarikat membuat keuntungan.

  1. Syarikat Sdn Bhd Sebagai Aset

Diantara ciri-ciri bagi sesuatu harta untuk dikategorikan sebagai aset ialah mestilah boleh mendatangkan keuntungan dan mempunyai nilai pasaran. Nilai pasaran juga berkait rapat dengan faktor pindah milik aset. Sesuatu aset akan mempunyai nilai pasaran sekiranya ia boleh dipindah milik dan sebaliknya berlaku jika pindah milik tidak boleh dilakukan atau terlampau sukar. Sebagai contoh, hartanah yang mempunyai geran berstatus bumiputera, adakah pembeli bukan bumiputera akan membelinya sekaligus mempunyai nilai pasaran kepada mereka ? sudah tentu tidak. Oleh itu, disebabkan faktor syarikat sdn bhd yang boleh dipindah milik itulah menyebabkan ianya boleh menjadi aset kepada pemiliknya.

Setiap sesuatu tidak terlepas dari mempunyai pro dan kontranya begitu juga syarikat sdn bhd. Faktor kos penubuhan dan pengurusan yang agak mahal telah membataskan kemampuan sesetengah usahawan untuk menjadikannya sebagai entiti perniagaan pilihan mereka. Ditambah pula faktor tuntutan perundangan yang agak banyak dan tegas oleh SSM mengurangkan minat mereka terhadap syarikat sdn bhd.

Pun begitu, kekurangan pada syarikat sdn bhd bukanlah suatu masalah besar jika dibandingkan dengan kelebihan yang ada padanya. Kos penubuhan dan pengurusan syarikat tidaklah semahal mana jika pandai memilih firma setiausaha syarikat dan firma juruaudit yang menyediakan perkhidmatan mereka pada kadar yang berpatutan. Faktor tuntutan perundangan pula dapat diatasi jika  mendapat nasihat professional berterusan dari setiausaha syarikat bertauliah yang cekap lagi berpengalaman.

Email this to someoneShare on FacebookTweet about this on TwitterShare on TumblrShare on LinkedInPrint this page
shaiham Ibrahim

shaiham Ibrahim

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif at MSIB Group Sdn Bhd
Seorang setiausaha syarikat berlesen oleh SSM (LS0009800). Berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu. Sedang mengikuti program pengajian separuh masa dalam bidang pengajian undang-undang di UITM, Shah Alam.
shaiham Ibrahim

Apa kata anda ?

comments

Daftarkan Email Anda Di sini !

Daftarkan Email Anda Di sini !

Untuk membolehkan anda menerima TIPS SYARIKAT dan kemaskini blog ini terus ke inbox anda secara PERCUMA......

Pendaftaran anda telah berjaya !